Monday, May 26, 2008

"Tau Cakap Tau Bikin"

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menulis lirik untuk lapan hingga sembilan lagu yang akan diterbitkan tidak lama lagi dalam usahanya memperluaskan ruang dakwah melalui penyampaian mesej murni bertepatan dengan agama.

Mohd Asri berkata, lagu pencipta tempatan yang menggunakan lirik daripada puisi tulisannya itu sudah siap dan kini dalam proses untuk diserahkan kepada beberapa penerbit yang berminat mengeluarkan album berkenaan secepat mungkin.

"Lirik lagunya insya-Allah saya tulis semuanya yang berasal daripada puisi hasil nukilan saya selepas menjadi mufti termasuk puisi Aku Rela dan Yang Benar Tetap Benar.

"Lagu itu akan dinyanyikan beberapa penyanyi yang akan dipilih oleh pencipta lagu," katanya kepada pemberita selepas majlis Baca Puisi Kuala Lumpur (BPKL) 2008 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, kelmarin.

Hadir sama, Setiausaha Politik Menteri Pelancongan, Datuk Abdul Rahim Abu; Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup; Timbalan Ketua Pengarah DBP, Kamarul Zaman Shaharudin dan Ketua 1 Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam), Mohamad Daud Mohamad.

Mengenai konsep album dan lagu terbabit, beliau berkata, ia tidak perlu terikat kepada konsep yang khusus kerana nasyid dan lagu sebenarnya mempunyai makna yang sama kerana yang penting mesej yang baik itu dapat disampaikan.

"Saya tidak mahu orang menganggap mufti hanya pandai mengkritik golongan artis sedangkan pada masa sama tidak menyediakan alternatif kepada hiburan yang ada di negara ini.

"Malah, sekarang ini saya mula membaca mengenai filem dan tidak mustahil satu hari nanti saya akan menyelia atau menulis skrip filem supaya tidak ada tuduhan mufti hanya pandai membuat larangan, tetapi tidak menyediakan alternatif sebagai galakan," katanya.

Ditanya mengenai saranan supaya mufti dan ulama mengikut langkah beliau, Dr Mohd Asri Zainul berkata, beliau tidak mahu menyarankan perkara kepada mereka kerana apa yang dilakukannya sebagai langkah awal untuk memberi alternatif kepada industri hiburan.

Pada April lalu, Mohd Asri mengajukan surat kepada Pejabat Menteri Besar Perlis, meminta penganjur Jom Heboh 2008 untuk menilai semula atau menghalang naib juara One In A Million (OIAM), Faizal Tahir, ke negeri itu kerana dianggap tidak sesuai dengan imej Perlis, selain mampu membawa pengaruh buruk.

Ini kerana Faizal digantung persembahannya di kaca televisyen sebelum itu, berikutan tindakannya membuka baju ketika melakukan persembahan sempena ulang tahun ke-4 8TV, Januari lalu.

Mohd Asri secara peribadi menyebut nama Faizal yang baru mengecapi kebebasan selepas tiga bulan digantung kemunculan di televisyen sebagai antara artis yang tidak patut dibenarkan membuat persembahan di Perlis, selain artis aliran rock dan dangdut.

Mohd Asri berkata, kemunculan artis aliran sedemikian terutama dengan imej rambut panjang dan tingkah laku yang sering meraung serta melompat-lompat menunjukkan imej yang tidak matang dan tidak sesuai sekali untuk dipertontonkan kepada rakyat Perlis.

Susulan surat itu, Mesyuarat Penyelarasan Karnival Jom Heboh 2008 di Kangar, memutuskan Faizal tidak membuat penampilan di Konsert Jom Heboh 2008 anjuran TV3 di Perlis, awal Mei lalu.

Inilah Mufti yang progressif . Tidak seperti sesetengah "Pak Lebai" sebelum pilihanraya macam-macam janji. Cakap motivasi dalam TV sampai naik asap. Bila dapat jawatan YB janji tinggal janji....Yang sedih lagi lulus projek "Khinzir"(sedap sikit sebut) mega. "LAIN CAKAP LAIN BIKIN.."