Monday, May 5, 2008

Peringatan semasa menziarahi kubur.

Tertib ketika ziarah kubur

AL-IMAN Ibn Taimiyyah mengkategorikan mereka yang menziarahi kubur kepada dua golongan, iaitu:

Pertama, mereka yang menziarahi kubur dalam keadaan mematuhi syariat dan menganggapnya sebagai satu galakan dalam agama. Apabila mereka ingin menziarahi kubur, dimulakan dengan niat yang ikhlas kepada Allah supaya dilembutkan hatinya untuk mengingati kematian.

Di samping itu, mereka disunatkan pergi ke tanah perkuburan dalam keadaan berwuduk dan wajib menutup aurat dengan sempurna. Bagi wanita yang keluar menziarahi kubur hendaklah mengelakkan dirinya daripada ditimpa fitnah, iaitu menjauhkan diri daripada perkara yang dilarang dalam agama seperti berpakaian yang mendedahkan aurat, memakai wangi-wangian dan bersolek secara berlebih-lebihan dengan tujuan menarik perhatian lelaki dan sebagainya.

Ketika sampai di tanah perkuburan hendaklah dimulakan dengan ucapan salam kepada ahli kubur sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud daripada Sulaiman bin Buraidah daripada ayahnya: “Sesungguhnya Rasulullah mengajar mereka sekiranya menziarahi kubur supaya mengucapkan: (yang bermaksud) "Mudah-mudahan Allah melimpahkan salam sejahtera kepada kamu sekalian wahai penghuni kampung-kampung (kubur-kubur) orang mukmin dan Muslimin, dan sesungguhnya kami insya-Allah akan bertemu kamu, kami memohon kepada Allah kesejahteraan untuk kami untuk kamu sekalian.” (Riwayat Muslim).

Perbuatan memberi salam itu lebih baik dilakukan dalam keadaan seseorang berdiri di tepi perkuburan dengan membelakangi kiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang diziarahi.

Kemudian disunatkan juga membaca al-Quran seperti membaca surah Yasin, bertahlil dengan menghadiahkan pahala bacaan tadi kepada ahli kubur.

Persoalan sampai atau tidaknya pahala kepada orang yang sudah meninggal dunia adalah persoalan kedua kerana manusia tidak pernah mengetahui apa yang berlaku pada alam barzakh secara nyata. Tetapi, sekiranya orang yang membaca al-Quran dan berdoa adalah anak kandung kepada si mati, sudah pasti akan memberi manfaat kepada penghuni kubur berkenaan. Ini bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW, bermaksud; daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: "Apabila meninggal seseorang, maka putuslah (tulisan pahala) amalannya, kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat atau anak yang soleh yang mendoakan kepadanya." (Riwayat al-Imam Ahmad).

Kedua, mereka yang menziarahi kubur dengan tujuan melakukan perkara yang menjerumuskan mereka kepada dosa dan syirik. Iaitu mereka yang menziarahi kubur dengan tujuan menjadikan kubur sebagai tempat pemujuaan, mendapatkan pertolongan, menolak keburukan dan sebagainya. Amalan sebegini boleh menjerumuskan seseorang kepada syirik. Dosa orang yang melakukan syirik tidak akan diampunkan oleh Allah kecuali dengan bertaubat sebelum orang itu meninggal dunia.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa (syirik) menyekutukannya (dengan sesuatu apa juga), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakinya (menurut aturan syariatnya). Dan sesiapa yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar." (Surah al-Nis.

Malah, perbuatan memuja dan menganggap kubur orang tertentu mempunyai kelebihan dan perlu dipelihara dengan meletakkan kelambu, kain kuning dan sebagainya adalah bukan daripada ajaran Islam. Begitu juga, mengukir nisan dan batu marmar dengan ayat al-Quran adalah perbuatan yang tidak pernah diperintahkan oleh Rasulullah. Apatah lagi, apabila nisan atau marmar itu menjadi tempat duduk ketika menziarahi kubur, ia boleh membawa kepada dosa.

Apabila berada di tanah perkuburan, memekik dan menangis kerana menyesali pemergian orang yang disayangi juga dilarang. Di atas sebab inilah, wanita diharuskan menziarahi kubur, tetapi bukannya menjadi rutin. Hal ini kerana, kaum wanita mudah putus semangat, terasa lemah dan sebagainya apabila teringatkan mereka yang sudah meninggal dunia.

# Penulis ialah Pensyarah Sekolah Pengajian Islam Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu


Tertib ketika ziarah kubur
Oleh Wan Hishamudin Wan Jusoh

No comments: