Friday, May 2, 2008

Dr. Jamil rektor baru Kuin


ALOR STAR 30 April - Dekan Kulliyah Ekonomi dan Pengurusan Sains Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Jamil Osman dilantik sebagai Rektor baru Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di sini menggantikan Prof. Datuk Dr. Sayyid Mohammad Aqiel Ali Al Mahdaly berkuat kuasa hari ini.

Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak berkata, pelantikan Dr. Jamil yang merupakan anak kelahiran Kedah sebagai rektor adalah berdasarkan latar belakangnya yang cemerlang ketika di UIAM dan Kuin sendiri yang lebih memfokuskan kepada pengajian Islam.

''Diharap dengan kepakaran yang dimilikinya dapat membina semula program-program yang telah dilaksanakan seiring dengan era baru pada masa kini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis penyerahan tugas rektor baru Kuin di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Menurut Azizan, Dr. Sayyid Mohammad pula akan kekal sebagai pensyarah di Kuin.

Kuin yang dahulunya dikenali sebagai Institut Agama Islam Negeri Kedah (Insaniah) dibuka pada 1995 dan dinaik taraf sebagai kolej universiti pada bulan April 2006 setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi.

Seiring dengan pasca pendidikan pada masa kini, Kuin turut menawarkan tiga bidang pengajian utamanya iaitu usuluddin, syariah dan bahasa Arab sehingga ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).

''Buat permulaan, Kuin menerima 20 permohonan bagi pengajian peringkat PhD dan lebih 100 permohonan bagi peringkat sarjana," jelasnya.

Dalam pada itu, Kuin yang mendapat pengiktirafan daripada KPM pada 2005 tetap akan meneruskan Memorandum Persetujuan (MoU) bersama Universiti Al-Azhar di Mesir seperti sedia kala.

Ia turut mempunyai pelajar dari luar negara seperti Thailand, Indonesia dan Brunei kerana kelebihannya berbanding institusi pengajian tinggi yang lain iaitu mencantumkan dua bidang ilmu iaitu Arab dan Inggeris serentak.

No comments: