Friday, May 23, 2008

Musa kata Mahathir duri dalam daging, Mahathir kata Musa duri dalam UMNO.

Di dalam blog Tun Dr Mahathir Mohammad (www.chedet.com) Tun Mahathir menuduh Musa duri dalam UMNO. Nampaknya kisah-kisah silam mula dibangkitkan kembali. Anak saya telah bertanya apa hal pula Musa dengan Mahathir ni? Mungkin generasi kini tak tahu langsung apa yang telah terjadi di antara Mahathir dan Musa.

Ini surat yang berusia 22 tahun daripada Musa kepada Mahathir untuk diimbas dan bongkar kembali sejarah silam.

JENG..JENG...JENG...JENG....JENG...JENG....jeng....(sedutan muzik suspense filem P.Ramlee)



Kuala Lumpur,
26hb. Februari, 1986.


YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed,
Presiden UMNO Malaysia,
d/a Jabatan Perdana Menteri,
Jalan Dato' Onn,
50520 Kuala Lumpur.

Seperti Saudara YAB sedia termaklum, saya telah menyatakan hasrat saya meletak jawatan di dalam percakapan kita pada 27hb. Januari, 1986, iaitu sebelum saya bertolak ke Davoz, Switzerland.

Sekarang, setelah menggunakan waktu cuti saya dengan fikiran yang tenang, waras serta penuh keinsafan, saya dengan ini mengambil keputusan muktamad meletakkan jawatan saya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan semua jawatan berkaitan dengannya iaitu termasuk Menteri Dalam Negeri, berkuatkuasa daripada 16hb. Mac, 1986. Surat rasmi saya sampaikan berasingan.

Saya menulis surat ini kepada Saudara selaku Presiden UMNO berkaitan dengan jawatan saya selaku Timbalan Presiden. Berlanjutan daripada perletakan jawatan saya selaku Timbalan Perdana Menteri, saya dengan ini juga meletak jawatan saya selaku Timbalan Presiden UMNO dan semua jawatan berkaitan dengannya, iaitu berkuatkuasa daripada 16hb. Mac, 1986.

Sungguhpun saya tidak menghuraikan sebab-sebab saya meletak jawatan-jawatan berkenaan dalam surat rasmi saya kepada Saudara selaku Perdana Menteri, saya fikir perlu saya jelaskannya dalam surat saya ini kepada Saudara selaku Presiden UMNO.

Saudara tentu ingat bahawa pada malam sebelum Perhimpunan Agong UMNO tahun lalu, Saudara telah membangkitkan soal bagaimana ada di kalangan ahli-ahli Majlis Tertinggi yang kesetiaannya kepada Saudara dipersoalkan.

Bukan itu sahaja, berbagai-bagai cakap negatif dan tohmah telah, dikatakan oleh Saudara, dilemparkan ke atas Saudara sendiri. Ini semua, dikatakan oleh Saudara, menimbulkan keadaan tidak sihat dan berpotensi perpecahan di kalangan Parti kita UMNO sendiri.

Kata-kata Saudara begitu serius dan tegas, lebih-lebih lagi apabila Saudara meminta ahli-ahli Majlis membuat kenyataan taat setia, hinggakan suasana begitu tegang dan resah di kalangan para anggota Majlis. Boleh dikatakan semua ahli tertanya-tanya siapakah yang dimaksudkan oleh Saudara.

Saya sendiri begitu juga dan cuba meramalkan siapakah yang dimaksudkan oleh Saudara, dengan tidak terlintas langsung di hati saya penglibatan saya sendiri, berasas kepada perhubungan kita berdua yang saya percaya waktu itu begitu baik dan rapi. Maka berasas kepada keadaan sedemikianlah, apabila saya diberi peluang bercakap di Perhimpunan Agong yang berkenaan, saya memutuskan bahawa perlu saya bantu Saudara dengan kenyataan sokongan penuh saya sendiri, Majlis Tertinggi dan para perwakilan ke atas kepimpinan Saudara selaku Presiden dan Perdana Menteri. Kenyataan ini saya buat dengan spontan, ikhlas dan penuh kepercayaan diri saya sendiri atas sokongan saya kepada Saudara.

Pada 15hb. Januari, 1986, dalam mesyuarat Majlis Tertinggi, sungguhpun sudah begitu larut malam, Saudara telah sekali lagi menimbulkan keadaan dan suasana resah dan tanda tanya di kalangan ahli-ahli Majlis apabila Saudara membangkitkan soal berbagai-bagai tohmah ke atas diri Saudara selaku Perdana Menteri. Saudara telah lebih serius, tegas dan khusus lagi kali ini dibandingkan dengan kali dahulu. Dalam kenyataan-kenyataan Saudara serta setelah ditanya oleh beberapa orang ahli, Saudara menjelaskan bahawa, di antaranya:

Tohmah-tohmah ini menyatakan kononnya Saudara adalah seorang PM yang 'diktator', 'korup', dan 'terkaya sekali di dunia'. Tohmah-tohmah ini merupakan tekanan yang begitu berat ke atas Saudara hingga ianya menjejaskan kemampuan Saudara dalam menjalankan tugas-tugas rasmi Saudara yang lebih besar dan penting lagi memerlukan perhatian. (Begitu serius hingga pada esok harinya Saudara memberitahu saya bahawa pada malam itu juga 'I was determined to resign').

Tohmah-tohmah ini kuat berbau politik dan bertujuan menjatuhkan Saudara; dan Tohmah-tohmah ini datang dari kalangan orang-orang kanan dalam Parti dan Kerajaan yang tidak sabar hendak mengambil alih tempat Saudara. Selama ini saya penuh kepercayaan bahawa hubungan kita berdua begitu relax, rapat dan mesra seolah-olah adik-beradik. Sesungguhnya pada awal-awal waktu kita berdua bertanggungjawab selaku PM dan TPM hinggalah akhir-akhir ini, saya berasa begitu mesra tiap-tiap kali selepas Saudara menunjuk-ajar atau menegur saya dalam berbagai-bagai hal baik rasmi mahupun peribadi.

Apabila saya mendengar semua kenyataan-kenyataan Saudara di malam 15hb. Januari itu dengan begitu teliti, saya lebih lagi tertanya-tanya malam itu juga atas siapakah yang dimaksudkan. Pada keesokan harinya bertanyalah saya pada Saudara samada saya sendiri terlibat. Kesimpulan jawab Saudara ialah 'Ya'.

Saya pada mulanya berasa sangat-sangat tersinggung, kecewa dan terperanjat serta tidak percaya mendengarnya. Dalam percakapan kita pada pagi itu yang agak hangat, saya telah menafikan sekeras-kerasnya tohmah-tohmah Saudara ke atas diri saya itu.

Malangnya, tiap-tiap kali saya membuat penafian dalam percakapan kita itu, Saudara berkali-kali juga menyatakan bahawa 'begitu banyak Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan dan Wartawan-wartawan' telah melaporkannya. ('Too many Senior Government Officials and Journalists...'). Implikasinya ialah bahawa saya terlibat dalam satu pergerakan bertujuan menjatuhkan Saudara seperti dihuraikan oleh Saudara dalam mesyuarat MT itu.

Memandangkan kenyataan di atas, tentulah Saudara sendiri dan, saya percaya, ahli-ahli MT bersependapat dengan saya bahawa saya tidak ada pilihan lain melainkan mengundur diri supaya meringankan bebanan tekanan-tekanan yang begitu serius ke atas diri Saudara. Ini juga akan membolehkan Saudara mentadbirkan Parti dan Negara kita atas nama seluruh anggota Parti dan Rakyat Jelata dengan lebih berkesan lagi dalam keadaan pemikiran Saudara yang tenang dan tidak diganggu-gugat oleh sesiapa juga, khususnya orang nombor dua Saudara sendiri.

Soal pokok di sini ialah soal kesetiaan dan kepercayaan. Pastilah bahawa Saudara mempersoalkan kesetiaan saya dan kepercayaan Saudara atas diri saya menimbulkan tanda tanya pula. Seperti mana Saudara mementingkan kesetiaan dan kepercayaan ini, saya juga sependapat dengan Saudara. Perlu juga saya sebutkan di sini - sungguhpun sekarang merupakan sejarah - bahawa saya berasa sangat-sangat megah di atas apa yang saya sangka sebagai hubungan rapi kita berdua sebelum timbul tohmah-mentohmah ini. Tiap-tiap kali disebut atau dipersoalkan oleh sesiapa pun hubungan kita - lebih-lebih lagi bila khabar-khabar angin begitu kencang menyatakan kita sudah renggang dan berbalah - saya sentiasa menafikannya serta menyatakan 'Alhamdulillah, PM dan saya begitu rapi hubungan' ('Thank God PM and I are very close in our relationship)

Percakapan kita pada pagi sebelum saya bertolak ke Davos, iaitu pada 27hb. Januari, 1986 lebih tegang dan merenggangkan serta menekan kepada saya. Saudara telah membangkitkan begitu banyak lagi perkara-perkara yang Saudara mengkritik saya. Khususnya, di antara lain, beberapa orang yang saya rekomen begitu buruk performancenya. 'Budak-budak' saya ('your boys') begitu banyak mencemarkan nama Saudara, dan lain-lain lagi. Saya sengaja tidak menjawab oleh sebab ini akan cuma lebih memburukkan suasana dan perasaan negatif Saudara atas diri saya. Cuma saya mengambil kesempatan di sini mengingat kembali bahawa waktu kita berdua terkeluar daripada Kerajaan/Parti selepas 13hb. Mei, 1969 dahulu, di antara faktor-faktor penting menyebabkannya ialah 'budak-budak Dia'!, walaupun sekarang kita pasti bahawa PM waktu itu tidak tahu-menahu mengenainya.

Sepanjang masa saya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya mengaku memanglah ada beberapa dasar serta cara-cara perlaksanaan dasar atas nama Kerajaan pimpinan Saudara yang saya sendiri persoalkan. Tetapi, banyak daripadanya saya beritahu kepada Saudara sendiri dalam pertemuan-pertemuan yang begitu kerap kita adakan. Pada dasarnya, saya menerima hakikat bahawa Saudaralah PM dan lagi, prinsip tanggungjawab bersama atau 'collective responsibility' saya terima.

Saudara juga telah saya maklumkan beberapa kali bagaimana saya ingin bersara oleh kerana saya bosan dengan 'politik wang' (di mana saya menyatakan saya tidak mampu bertanding lagi) dan penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan politik dan sebagainya. Permintaan saya bersara

Saudara minta saya tangguhkan dan saya menghormatinya. Walau bagaimanapun, nampaknya Saudara lebih menjangka saya 'bermain politik' bertujuan menjatuhkan Saudara daripada benar-benar mahu bersara.

Tohmah Saudara ke atas diri saya merupakan tamparan yang begitu hebat kepada maruah dan kredibiliti saya, lebih-lebih lagi selama ini saya sangka Saudara sendiri menerima peranan saya sebagai orang sokongan kedua kepada Saudara. Adakah perletakan jawatan saya ini merupakan 'sabotage' kepada Saudara atau Parti? Adakah ianya merupakan 'excuse' saya berhenti? Terpulanglah kepada kematangan sesiapa yang memikir atau membincangnya.

Tetapi, walau apapun dikatakan nanti, saya fikir perlu saya huraikan sebab-sebab saya memutuskan meletak jawatan sekarang juga. Antara yang penting ialah:

Prinsip saya berkhidmat dan menjalankan tugas berasas kepada kepercayaan penuh (faith), commitment dan dengan sukacita saya sendiri. Commitment sudah merosot kerana tidak dipercayai dan sukacita hati sudah menjadi duka.

Walaupun saya buat sesuatu dengan cara apapun, saya akan berbuatnya dengan takut-takut ditohmah atas motif kepentingan politik saya sendiri. Kenyataan-kenyataan umum beberapa orang Menteri, (saya percaya kebanyakan mereka cuba membantu Saudara) dan Saudara sendiri atas 'pihak-pihak tertentu' yang cuba 'memecah belah', 'menjatuhkan Kerajaan' dan 'kita tahu siapa dia di dalam dan di luar Parti' yang mencemarkan nama baik Saudara sebagai PM dan kata-kata khusus bahawa 'Doc cannot work together with Musa anymore but cannot do anything because Musa is too powerful now..' semua ini menekan fikiran saya. Tambah lagi aktiviti-aktiviti 'comando-comando' dengan rancangan-rancangan khusus mereka merisau fikiran saya atas potensi dan bahaya kita berpecah-belah dan saya dilibatkan.

Selagi lama saya terus memegang jawatan, selagi hebat tohmah-mentohmah berterusan. Kalau saya terus bekerja kuat, ini akan disalah tafsir, kalau sebaliknya, lebihlah lagi. Sebenarnya, saya bercadang meletak jawatan sebaik sahaja pulang daripada Davos. Tetapi saya telahpun meminta
supaya lawatan Saudara ke Johor pada 20hb, dan 21hb. Februari disambut secara besar-besaran dan dijayakan.

Dengan saya meletakkan jawatan sekarang, ini akan membolehkan Saudara memilih orang yang Saudara percaya penuh bagi membantu Saudara berhadapan dengan rakyat nanti. Ini akan mengekalkan juga perpaduan Parti dengan saya sendiri tidak menentang Saudara atau mengecam Saudara.

Dalam keadaan sebegini, saya ada dua pilihan, iaitu:
Berdiam diri dan 'bersabar' (Ini sudah dijawab di(4) diatas); atau Beralah. Saya memilih (ii) sebab ianya sebaik-baik bagi Parti kita.

Saya sedar dan insaf ahli-ahli Parti, lebih-lebih lagi yang memang menentang saya, akan mengecam saya menyatakan saya sabotage, tak sayang Parti dan sebagainya. Tetapi, pada hemat saya, kalaulah saya hendak disalahkan, kesalahan saya hanyalah bahawa saya sedia mengorbankan diri saya bagi membuktikan bahawa saya beralah dan tidak mahu difitnah mengancam kedudukan Saudara.

Untuk membukti saya tidak ada tujuan 'bermain politik' atau terus membebankan Saudara, saya akan berada di luar negeri sebaik sahaja saya serahkan surat ini. Ini ialah bagi mengelakkan diri saya daripada ditanya atau dipujuk rayu oleh 'orang-orang' atau 'budak-budak' saya. 'Orang-orang' atau 'budak-budak' saya ini semua pula tentulah akan kecewa kepada saya.

Tetapi, inilah nasib politik saya yang saya terpaksa hadapi sendiri. Ketiadaan saya dalam negeri juga akan mengurangkan perlunya saya sendiri terlibat dalam perbincangan umum atas soal perletakan jawatan saya ini dan dengan itu mengelakkan kekeruhan suasana.

Saya serahkan baik buruk nama saya kepada kebijaksanaan Saudara sendiri dan rakan-rakan lain. Cuma saya berdoa ke hadrat Ilahi janganlah hendaknya saya difitnah atau dicari-cari salah pula nanti. Saya, dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, mengundur diri dengan rela hati.

Moga-moga Allah tenangkan hati Saudara, kukuhkan iman Saudara supaya dapat Saudara terus memimpin Parti dan Negara kita yang kita cintai ini. Saya akan sentiasa berdoa supaya niat baik Saudara hendak memimpin Negara kita ke arah satu Negara yang maju, bermaruah dan megah akan tercapai.

Akhir sekali, mengikut adat Melayu dan ajaran Agama suci kita, saya menuntut maaf di atas apa-apa jua yang tersalah silap saya lakukan kepada Saudara sendiri, semua ahli-ahli Majlis Tertinggi dan seluruh anggota Parti sepanjang masa saya berkhidmat.

Selamat Berkhidmat dan Selamat Majujaya.

BERSATU, BERSETIA, BERKHIDMAT.
HIDUP MELAYU DAN MERDEKA


t.t.
( DATO' MUSA HITAM )

s.k : Ahli-Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia

Baca dan nilailah siapa yang berpecah? Melayukah? Pemimpinnyakah? atau UMNOkah?

No comments: