Wednesday, May 28, 2008

Tun Mahathir kesepian.

Dr. M: Ahli UMNO sudah tidak berjuang demi parti

SUBANG 27 Mei - Ahli-ahli UMNO kini sudah tidak lagi berjuang demi kepentingan parti sebaliknya hanya mengutamakan kesetiaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ahli-ahli UMNO juga tidak lagi berjuang membela orang Melayu malah semakin melupakan matlamat asal parti ditubuhkan.

"Semua sudah tidak lagi utamakan perjuangan UMNO. Mereka hanya berjuang untuk mengekalkan Abdullah.

"Saya sedih. Mereka tunjuk taat setia kepada Abdullah tetapi tidak lagi taat setia kepada parti," katanya semasa berucap selepas pulang dari menghadiri Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-14 di Jepun di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, mereka bertindak demikian bukan kerana tekanan tetapi akibat situasi parti kini yang tidak lagi mempertahankan ahli di bawahnya.

Dr. Mahathir mengumumkan keluar daripada UMNO pada 19 Mei lalu dan tidak akan menyertai parti itu semula selagi Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memimpin parti itu.