Friday, July 4, 2008

Minda: Suburkan kasih sayang dengan mengawal marahOleh Aminudin Mansor

Minda: Suburkan kasih sayang dengan mengawal marah
Oleh Aminudin Mansor

SEBAGAI manusia, sifat marah memang ada dalam hati dan jiwa seseorang. Bagaimanapun, sifat marah boleh dikawal agar tidak berleluasa daripada menyelubungi perasaan dan tindakan kita.Pakar psikologi menyatakan sifat marah biasanya berpunca daripada sesuatu sebab atau kesan yang menyebabkan seseorang itu melahirkannya dalam bentuk tindakan dan berasa tidak selesa apabila tidak berbuat demikian.Menurut ahli sufi, marah disebabkan kepenuhan darah hati dan bertujuan membalas dendam terhadap seseorang.Rasulullah s.a.w pernah menasihatkan Mu’awiyah: “Wahai Mu’awiyah, jauhkan olehmu sifat marah, kerana marah itu dapat merosakkan iman seseorang sebagaimana pahit jadam merosakkan madu yang manis.”
Marah berasal daripada syaitan, kerana syaitan dijadikan daripada api dan ia hanya dapat dibunuh dengan air. Justeru, Nabi menasihatkan agar orang yang sedang marah mengambil wuduk.
Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah s.w.t berfirman bermaksud: “Wahai anak Adam, sebutlah nama-Ku apabila engkau marah, supaya Aku ingat pula akan engkau, dengan demikian apabila Aku marah tidaklah Aku menurunkan malapetaka atasmu.” Itulah sebabnya satu daripada amal terbaik ialah menahan diri ketika marah dan sabar sewaktu hawa nafsu meluap-luap. Dapat dinilai orang yang baik itu harus nampak kebaikannya ketika marah bukan pada ketika dia riang gembira.Rasa takut kepada Allah dapat menghilangkan rasa marah kerana marah itu datang ketika seseorang melupakan Tuhannya. Hanya Allah berhak marah terhadap hamba-Nya yang ingkar dan melakukan kemaksiatan.Kemarahan akan menghancurkan segala kebaikan yang ada. Kita sebagai hamba patutlah mengawal kemarahan supaya tidak menjadi mangsa malapetaka yang boleh terjadi akibat kemarahan.Sebagai bapa atau ibu, sifat marah anak ini patut dikawal sebaiknya agar mereka tidak menjadi mangsa kemarahan tanpa sebab dan anak tidak akan menyimpan dendam terhadap kemarahan ibu bapa mereka.Islam mengajar umatnya mengambil berat perihal hubungan murni antara anak dengan ibu bapa. Ia teras penting dalam kehidupan rumah tangga.Sementara anak pula wajib menghormati ibu bapa selagi mereka tidak menyuruh kepada perkara dilarang Allah. Ia penghormatan terhadap insan yang melahir dan mendidik mereka.Seseorang anak mestilah menjaga lidahnya supaya tidak memarahi ibu bapa mereka, apatah lagi apabila kedua-duanya tua dan uzur.Allah menegaskan dalam al-Quran yang bermaksud: “Jika salah seorang daripada kedua-duanya (ibu bapa), atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah!” dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (bersopan santun).” (Surah Al-Isra:23)Di pihak ibu bapa pula, sikap sayang menyayangi antara anak dan ibu bapa harus diwujudkan dalam rumah tangga. Hindarilah sifat marah tanpa sebab kerana ia boleh menjadi punca renggang kasih sayang antara anak dan ibu bapa.Keluarga bahagia memang menjadi idaman setiap insan. Namun, sepanjang hidup sebumbung ada ketikanya suami marah terhadap isteri, terhadap anak, hal kewangan, makanan dan bermacam-macam lagi hal rumah tangga. Begitu juga sikap sesetengah ibu yang suka berleter kerana rumah tidak berkemas, atau sampah bertaburan di luar rumah, pinggan mangkuk dan kain baju tidak dibasuh.Apa pun puncanya, sifat marah keterlaluan boleh mengeruhkan suasana hingga menjejaskan hubungan kasih sayang antara suami isteri, ibu bapa dan anak. Hubungan boleh menjadi renggang, boleh menimbulkan penderaan terhadap anak ataupun lebih buruk lagi perceraian suami isteri.Sifat marah juga boleh merosakkan dan mengakibatkan kemusnahan jika tidak dikawal dengan hati yang rasional dan fikiran tenang.Firman Allah yang bermaksud: “Berlaku kerosakan di daratan dan lautan (akibat) daripada perbuatan tangan manusia supaya kami rasakan kepada mereka sebahagian daripada perbuatan mereka itu, semoga mereka akan kembali.” (Surah ar-Rum: 41)Dalam hal ini, kita harus mengambil sikap toleransi dan persefahaman sesama manusia. Elakkan sebab atau punca yang boleh menyebabkan orang lain memarahi kita.Sifat marah yang tidak terkawal boleh mengakibatkan kerosakan. Marah memang sifat semula jadi manusia, berpunca daripada keadaan tidak adil, disindir, dihina, dituduh bukan-bukan, diperalat, difitnah dan diancam kehilangan sesuatu yang berharga.Jika kita berhadapan dengan orang sedang marah, cubalah hadapi dengan langkah berikut:
Beri peluang orang sedang marah itu bercakap atau meluahkan terlebih dahulu punca kemarahannya.
Ketika berhadapan dengan individu sedang marah, jangan menyampuk dan merendahkannya.
Kaji punca kemarahannya dan cuba atasi. Sekiranya berpunca daripada kesilapan kita, mintalah maaf daripadanya.
Cubalah bertanya beberapa soalan bagi membantu menyelesaikan masalahnya. Terima kemarahannya dengan tenang.

No comments: