Saturday, July 19, 2008

Melahirkan Spielberg tempatan

KUALA LUMPUR 18 Julai - Sutradara tersohor, Steven Spielberg menghasilkan filem pertamanya berjodol Firelight dalam tahun 1964 ketika berusia 16 tahun.

Dengan bajet sebanyak AS$600, filem berunsur fiksyen sains itu meraih keuntungan AS$100.

Biarpun pulangannya tidaklah sebesar mana, namun kejayaan awal itu mendorong Spielberg untuk melangkah lebih jauh sehingga beliau kini menjadi satu nama besar dalam dunia perfileman.

Bagi Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek, tidak mustahil bagi Malaysia melahirkan pengarah sehebat Spielberg jika usaha mencungkil bakat di kalangan golongan muda dilakukan. "Yang penting, dalam industri kreativiti seperti ini sesiapa yang hendak berjaya, mestilah bermula awal," katanya.

Malahan dalam bidang sukan seperti tenis, beliau berkata, seseorang yang berhasrat menjadi juara dunia juga perlu bermula dalam usia muda dengan menyertai pertandingan utama.

"Raphael Nadal berusia 22 tahun tetapi sudah menjadi juara Wimbledon," kata Shabery mengenai kejayaan pemain Sepanyol itu merangkul kejuaraan berprestij tersebut dengan menundukkan juara bertahan Roger Federer pada 2 Julai lepas.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap industri media dan berkaitan kreativiti, Shabery sedar perlunya kementerian itu menyediakan platform bagi menggalakkan aktiviti tersebut.

Apatah lagi bagi menyokong institusi pendidikan yang menawarkan pengajian dalam bidang berkaitan.

"Anak-anak muda ini diajar membuat content (kandungan) tetapi ke manakah mereka hendak pergi untuk menyiarkan hasil mereka, panggung wayang mana yang nak tayangkan filem pendek 10 minit?". Akhirnya assignment yang mereka buat ini hanya diberikan kepada pensyarah untuk tujuan permarkahan dan selepas itu disimpan.

"Saya percaya ada daripada assignment itu kadangkala lebih baik daripada apa yang dihasilkan oleh stesen televisyen.

"Kadang-kadang nak buat filem 10 minit ini lebih susah daripada drama yang meleret dan membosankan, sekadar nak penuhi masa dan tidak memerlukan kreativti," katanya ketika melancarkan Program Karyawan Muda (PKM) yang bertujuan memajukan industri kandungan tempatan di sini hari ini.

- Bernama

Program itu, yang disasarkan kepada mereka yang berumur 30 tahun ke bawah, dikelolakan bersama oleh Jabatan Filem Negara Malaysia (FNM) dan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM).

Ia merangkumi empat kategori — Jenaka, Dokumentari, Eksperimental dan Animasi, setiap satu 5 hingga 10 minit.

Program itu akan disiarkan setiap Sabtu dan Ahad di RTM selama 30 minit bermula esok.

— LAGI FILEM 4 KUALA LUMPUR "Siarannya pada pukul 5.30 petang adalah sewaktu prime time kerana kita mahu ia ditonton ramai," kata Shabery.

Filem-filem yang disiarkan itu akan dinilai untuk Anugerah Karyawan Muda yang akan disampaikan pada Februari tahun depan.

Shabery berharap program itu akan membantu dalam perkembangan industri kandungan tempatan bagi memenuhi keperluan saluran televisyen yang semakin banyak.

Malah, katanya mereka yang menceburi industri itu tidak harus hanya memikirkan untuk bersaing mendapatkan air time (siaran) RTM dan stesen tempatan yang lain tetapi melihat kepada potensi pasaran antarabangsa.

"Apabila siri Winter Sonata ditayangkan di sini, orang mula bercakap mengenai Korea Selatan dan tidak lagi setakat India dan Hong Kong," kata Shabery yang mengharapkan drama seperti Gerak Khas akan disiarkan pula di negara itu satu masa nanti.

— LAGI FILEM 5 (AKHIR) KUALA LUMPUR Beliau yakin industri berasaskan kreativiti akan berjaya jika ia digerakkan oleh orang-orang muda.

Selain mempunyai nilai kreativiti yang tinggi, mereka juga lebih memahami citarasa golongan muda.

"Lihat sajalah Yahoo! dan Google yang dimulakan oleh orang-orang muda dan kini menjadi sebahagian kehidupan seharian dalam era multimedia ini," katanya.

Maklumat dan borang penyertaan mengenai PKM boleh diperolehi daripada laman web www.karyawanmuda.com.my.

"PKM ini menjadi sinar baru kepada industri kandungan tempatan untuk melahirkan karya bermutu," kata Shabery yang berharap ia mencetuskan persaingan di kalangan institusi pengajian tinggi untuk memenangi anugerah tersebut.

— BERNAMA AZZ RAR RS

No comments: