Mufti Perlis minta Anwar, Saiful Bukhari bersumpah
Oleh JOHARI SHAWAL
Oleh JOHARI SHAWAL
KANGAR 3 Julai - Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin meminta kedua-dua individu yang dikaitkan dalam kes liwat iaitu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan supaya 'bermubahalah' atau bersumpah. Menurut beliau, isu liwat itu kini sudah menjadi semakin rumit dan rakyat pula menjadi keliru.
"Semua orang tidak tahu siapa yang betul dan siapa yang bohong. Jadi bagi membantu menyelesaikan kekalutan isu liwat ini, saya syorkan kedua-dua mereka ini bermubahalah. "Mubahalah di sini bermaksud sumpah laknat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Asri, Anwar dan Mohd. Saiful hendaklah bersumpah laknat iaitu dengan melafazkan sumpah: "Jika dia tidak melakukan kepada saya, laknat Allah kepada saya, jika saya melakukannya, laknat Allah kepada saya."
"Mereka juga hendaklah bersumpah dengan menyebut Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Saya tidak melakukannya," katanya.
Tambah Mohd. Asri, isu liwat tersebut telah menyebabkan rakyat berbalah dan bertengkar sesama sendiri.
"Sekarang ini macam-macam cerita kita dengar daripada kes liwat ini. Ada konspirasi, niat jahatlah sampai rakyat pula yang bergaduh," katanya.
Mohd. Saiful, 23, dalam laporan polis yang dibuatnya di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur pada 28 Jun lalu, mendakwa diliwat beberapa kali oleh Anwar dengan kali terakhir pada 26 Jun lalu di sebuah kondominium di Damansara, Kuala Lumpur. Dalam pada itu, Mohd. Asri turut tidak bersetuju dengan saranan supaya kes liwat itu perlu dikemukakan empat orang saksi.
"Saya tidak setuju sebab mangsa mendakwa liwat berlaku ke atas dirinya sendiri, bukan orang lain," katanya.
Mufti Perlis turut melahirkan rasa kecewa dengan cara berpolitik negara ini yang didakwanya gemar mengaibkan antara satu sama lain. "Dalam Islam, peribadi seseorang tidak boleh didedah kepada orang lain. Tetapi dalam politik Malaysia sekarang, mereka berlumba-lumba mendedahkan aib orang," katanya.
No comments:
Post a Comment