OPAT RATTANACHOT
(wartawan utusan)
KEMUNCULAN kumpulan lelaki yang mendakwa mengetuai kumpulan pejuang pemisah di selatan Thailand menyatakan persetujuan untuk mengadakan gencatan senjata seperti disiarkan televisyen tempatan TV5 milik Tentera Diraja Thai kira-kira pukul 12 tengah hari Khamis lalu benar-benar menggamitkan perhatian banyak pihak.
Lebih menarik, persetujuan gencatan senjata tersebut dipercayai dirintis oleh bekas Menteri Pertahanan yang juga bekas komander tentera serta pemimpin parti bersekutu kerajaan, Jeneral Chetta Thanajaro.
Natijahnya, pengumuman tersebut seharusnya disifatkan sebagai suatu perkembangan positif kerana ia boleh membawa kepada penamatan konflik selatan Thai yang kini mengorbankan kira-kira 3,300 nyawa.
Bagaimanapun, sejauh manakah sahih persetujuan gencatan senjata yang kononnya dipersetujui pada 14 Julai lalu itu? Penganalisis berpendapat, banyak persoalan kini bermain dalam fikiran rakyat.
Antara persoalan utama ialah benarkah individu tersebut mewakili kumpulan pejuang pemisah atau ia sekadar satu usaha meraih populariti bagi membantu meneruskan jangka hayat kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Samak Sundaravej yang kini terumbang-ambing?
Ini kerana, rakaman video dan kenyataan yang dibuat kumpulan lelaki berkenaan dikatakan penuh dengan unsur kesangsian.
Berdasarkan laporan media negara itu, meskipun salah seorang lelaki yang mengaku ketua Gerakan Bawah Tanah Bersatu Selatan Thailand itu enggan mendedahkan nama dan identitinya, namun ramai percaya dia ialah bekas pemimpin pejuang yang kini tidak aktif lagi.
Bagi mereka yang sering mengikuti perkembangan pergolakan selatan Thai, lelaki yang berucap menggunakan bahasa Melayu dalam rakaman tersebut disahkan pihak berkuasa sebagai Matripin @ Mat Arifin Khan, bekas pemimpin Pertubuhan Islam Langkasuka.
Matripin yang duduk sebelah kiri ketika memberikan kenyataan itu kini tidak dapat dikesan di mana dia berada. Sebenarnya, bekas pemimpin tersebut dikatakan pernah terbabit dalam usaha berjuang bersama kumpulan-kumpulan pemisah selatan Thai sejak tahun 1984.
Bagaimanapun, usahanya meleset memandangkan terdapat perbezaan ideologi sehingga menyebabkan kumpulan tersebut berpecah kepada sekurang-kurangnya 11 puak.
Pun begitu, Matripin tidak berputus asa malah dari semasa ke semasa dilihat menggunakan kesempatan mengeluarkan kenyataan media dengan terbaru mendakwa mewakili kumpulan Gerakan Bawah Tanah Bersatu Selatan Thailand untuk berunding dengan kerajaan.
Jika kita menyingkap kembali sejarah kumpulan pemisah, kemunculan ideologi memerdekakan selatan Thai dipercayai wujud sejak tahun 1902 di bawah pimpinan Tengku Abdul Kadir.
Selepas itu, muncul beberapa kumpulan serpihan yang dikenali dengan pelbagai nama seperti Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO); Barisan Revolusi Nasional (BRN), Kongres Gerakan Mujahideen Islam Pattani (GMP) dan Rondaan Kumpulan Kecil (RKK).
Sesetengah laporan perisikan menyebut, kumpulan yang berpecah-pecah berkenaan kemudiannya dikatakan bergabung di bawah satu badan induk yang dikenali Bersatu pada 31 Ogos 1989.
Kini, Bersatu dipimpin oleh Dr. Wan Abdul Kadir Che Man. Namun, peranan bekas pensyarah beberapa universiti termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu juga dilihat tidak begitu jelas memandangkan beliau sudah lanjut usia dan tidak diiktiraf kerajaan Thai.
KeganasanKetika kumpulan masing-masing mengaku mewakili pemisah yang cuba berunding dengan kerajaan, keadaan semasa di selatan Thai terus bergolak dengan peningkatan kes keganasan hari demi hari.
Oleh demikian, usaha berunding bagi mencapai kesepakatan meletak senjata sering kali tidak menjadi. Begitu juga, dakwaan gencatan senjata terbaru yang dikatakan diketuai Matripin dengan usaha Chetta sebagai perintis.
Berbalik kepada soal kesangsian, banyak pihak juga melihat kerajaan pimpinan Samak cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan isu tersebut untuk mencipta populariti.
Untuk rekod, dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, Samak terpaksa menerima tamparan hebat apabila dilanda krisis termasuk keputusan yang dibuat Mahkamah Perlembagaan Thailand yang tidak berpihak kepada kerajaan; perbalahan mengenai kuil Hindu Preah Vihear di sempadan Kemboja dan demonstrasi jalanan oleh puak anti-kerajaan.
Secara kebetulan pula, pengumuman gencatan senjata tersebut dibuat ketika Perdana Menteri berusia 76 tahun itu berusaha melanjutkan tempoh perjalanan kerajaan menggunakan bantuan 'talian hayat' dengan melakukan rombakan Kabinet pada 28 Julai ini.
Lebih penting, Chetta yang merupakan pemimpin Parti Ruam Jai Thai Chart Pattana dikatakan menggunakan kesempatan mencipta nama atas 'kejayaan' berunding dengan puak pemisah itu untuk kembali memegang jawatan Menteri Pertahanan dalam siri rombakan kabinet.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Thai, Jeneral Anupong Paojinda dalam reaksinya memberitahu, pihak Tentera Diraja Thailand tidak dapat menerima sama sekali pengumuman oleh kumpulan lelaki terbabit.
Ini kerana, katanya, pihak tentera tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang rundingan 'damai' bersama kumpulan pemisah yang dikatakan dibuat Chetta itu.
"Tentera tidak dapat menerima pengumuman individu ini yang mendakwa mewakili kumpulan pemisah selatan Thai meskipun kenyataan mereka disiarkan dalam rancangan televisyen milik angkatan tentera.
"Kita juga melihat pembabitan Jeneral Chetta dalam isu ini sebagai tidak ada kena-mengena dengan pasukan tentera," tegasnya dalam satu wawancara yang disiarkan beberapa televisyen tempatan baru-baru ini.
Ini bermakna, kenyataan yang dibuat Panglima Angkatan Tentera itu kini menambahkan lagi unsur kesangsian berhubung gencatan senjata dan formula menamatkan pergolakan di wilayah yang bersempadan dengan Malaysia itu.
Apa pun, jika benar 'gencatan senjata' yang diumumkan tersebut berlaku, pastinya tiada pihak yang meraih manfaat melainkan penduduk tempatan khususnya masyarakat Islam di wilayah Yala, Narathiwat, Pattani dan sebahagain Songkhla.
Namun, andainya ia adalah satu sandiwara yang dimainkan kerajaan, wilayah selatan Thai selepas ini sudah tentu akan terus bergolak dan keadaan mungkin menjadi lebih parah dengan keganasan meningkat berkali ganda sehingga belum pasti titik noktah.