Monday, December 1, 2008

Pek Ha Penyelamat Hubungan Dua Hala?

Pek Ha: Indonesia sambut baik

JAKARTA 29 Nov. – Beberapa anggota Parlimen Indonesia menyambut baik keputusan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman 18 tahun penjara ke atas Yim Pek Ha, majikan kepada pembantu rumah dari Indonesia, Nirmala Bonat.

Speaker Parlimen Indonesia, Agung Laksono berkata, beliau tidak mahu mencampuri urusan mahkamah itu tetapi menghargai sistem undang-undang di Malaysia yang menjatuhkan hukuman yang sesuai dengan kesalahan penderaan itu.

“Selain menunjukkan berjalannya proses penegakan hukum di Malaysia, keputusan ini juga cukup bererti bagi Indonesia kerana ada banyak lagi pekerja Indonesia di sana,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan para pekerja Indonesia yang sedang mencari rezeki di Malaysia supaya berhati-hati dalam bekerja dan sentiasa mematuhi undang-undang Malaysia.

Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri di parlimen Indonesia Theo L. Sambuaga juga memberikan penghargaan kepada mahkamah di Malaysia yang menurutnya telah mempastikan perjalanan undang-undang dengan baik dan adil.

“Saya kira kita angkat topi kepada mahkamah Malaysia yang telah membuat keputusan seperti itu dan benar-benar mempertimbangkan fakta yang ada,” katanya, yang mahu setiap pekerja Indonesia dipastikan tahu selok belok pekerjaan dan didedahkan juga kepada adat, budaya dan pengetahuan asas undang-undang setempat.

Ketua Badan Kerjasama Antara Parlimen di parlimen Indonesia Abdillah Thoha pula berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana telah menyelesaikan proses undang-undang dan kehakiman ke atas rakyat Indonesia yang mencari keadilan seperti dalam kes Nirmala.

Sementara itu, akhbar-akhbar di Indonesia turut melaporkan berita keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur itu yang dianggap telah memberikan keadilan kepada Nirmala.

Akhbar Republika pula memuatkan reaksi positif seorang pegawai di Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur sebagai berkata, hukuman 18 tahun penjara itu sangat mengejutkan apatah lagi ia merupakan kes pertama penganiayaan terhadap pembantu rumah dari Indonesia yang dijatuhkan hukuman seberat itu.

“Kami kira dia (Pek Ha) kena lima hingga 10 tahun saja. Namun hakim mempertimbangkan aspek kemanusiaan, keadilan dan kepentingan umum. Jadi ini sudah setimpal,” kata pegawai yang bernama Selamet itu.

– Bernama

(Nampaknya hukuman ke atas Pek ha merupakan penyelamat hubungan dua hala, Malaysia dan Indonesia)

1 comment:

raveendran nair said...

Apa kabar En.Mazlan. Lama juga saya tak tinggalkan pandangan saya di sini. Walau pun mungkin keputusan kes Pek Ha memberikan impak atas hubungan dua hala negara kita dengan Indonesia namun bagi saya kes tersebut melibatkan hubungan antara dua manusia dan sifat-sifat perikemanusiaan. Biar ini menjadi satu pengajaran kepada semua majikan, jangan sesekali menganggap golongan pekerja ini boleh diperlakukan seperti binatang.

"We shall put our self to Nirmala Bonat shoes, then we will understand the cruelty she has went throw"

Beliau datang ke Malaysia untuk mencari sesuap nasi dan kalau beliau gagal untuk melaksanakan tanggungjawab beliau, yang baik hantar dia balik. Itu lebih berperikemanusiaan daripada mendatangkan keganasan. Nirmala Bonat pun adalah seorang manusia dan sudah tentu beliau juga mempunyai naluri dan keinginan seperti majikannya.

Belajar daripada kes ini.