Sunday, November 16, 2008

Konsert band indie di Menara KL

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my
20 kumpulan sertai persembahan tema perpaduan pada 16 November

KEBELAKANGAN ini, kebanjiran pemuzik indie menunjukkan isyarat persada seni amat mengalu-alukan kedatangan arus muzik ini ke arus perdana. Buktinya, dengan hadirnya kumpulan seperti Hujan, Meet Uncle Hussain dan Estranged yang berjaya menawan peminat seni. Ia satu perkembangan yang positif dan muzik dilihat sebagai sejagat yang mampu menyatupadu masyarakat.

Lalu atas paksi ingin memberi ruang kepada laluan muzik ini yang semakin mendapat tempat, pihak Menara Kuala Lumpur tidak teragak-agak memberi peluang kepada pemuzik indie ini untuk sekali lagi beraksi di puncak menara yang keempat tertinggi di dunia itu pada 16 November ini mulai 12 tengah hari hingga 10 malam . Ia dipanjangkan berdasarkan sambutan yang diterima menerusi KL Indie Fest `08 pada 5 Julai lalu.

Konsert diberi nama ‘Music Against Racism’ ini bertemakan ‘One Love, One Heart, One Nation’ diharap dapat menyampaikan mesej keamanan, perpaduan selain mewujudkan masyarakat penyayang di antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama. Ia adalah kerjasama antara Menara Kuala Lumpur dan Vain Music Records dan menghimpunkan 20 kumpulan pemuzik indie termasuk OAG dan The Times.

Pengurus Besar, Perhubungan Awam dan Acara Menara Kuala Lumpur, Mazlan Mahmud berkata, usaha ini bertujuan menarik golongan remaja selain pelancong untuk berkunjung ke menara ini.

Katanya lagi, golongan remaja inilah yang bakal menjadi generasi pelapis pada masa hadapan.

“Jika ada pandangan skeptikal yang mengatakan band indie ini sukar mendapat tempat untuk menarik perhatian syarikat rakaman, pihak Menara Kuala Lumpur berbesar hati untuk memberi mereka sedikit ruang untuk berkarya. Tak banyak band sebegini yang mendapat tempat di arus perdana, jadi kita tidak teragak-agak menyediakan platform untuk mereka berkongsi muzik.

“Kami di Menara Kuala Lumpur akan sentiasa memberi sokongan kepada program riadah sebegini di mana ia dapat mendorong semua lapisan masyarakat khususnya golongan remaja sekali gus dapat menjauhi aktiviti tidak bermoral yang semakin berleluasa dewasa ini,” katanya.

Ditanya apakah akan berulang lagi ‘tragedi’ penonton bertindak di luar kawalan semasa berlangsungnya KL Indie Fest ‘08 kerana kurang ketat aspek keselamatan, Mazlan memberitahu untuk konsert ini nanti, pengurusan Menara KL akan mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan supaya tidak berulang lagi insiden di mana penonton dengan mudahnya merempuh besi pengadang dan mengganggu tumpuan pemuzik.

Bagi Pengurus Projek, Vain Music Records, Azeezul Fitri idea mengadakan konsert ini tercetus atas dasar pentingnya perpaduan yang boleh dieratkan melalui medium muzik. Katanya, muzik menjadi elemen terpenting untuk menyalurkan mesej perpaduan.

Ruang bagi pemuzik indie berkarya juga dilihat semakin terbuka biarpun ada kekangan yang melabelkan muzik indie ini membawa gambaran negatif. Mewakili pemuzik indie lain, Azeezul berkata, golongan pemuzik seperti mereka tidak terlalu mengharapkan bantuan orang lain dan lebih senang berusaha sendiri.

“Sasaran konsert ini ialah untuk mendidik golongan remaja untuk menjauhi anasir negatif di samping menarik mereka dan pelancong untuk melawat ke Menara Kuala Lumpur.

“Pemuzik indie menyambut baik sokongan masyarakat yang menerima kedatangan muzik kami. Ia satu petanda positif untuk kami terus berkarya dan mencari rezeki. Ia juga bukti negara kita juga mempunyai pemuzik yang baik yang boleh diserlahkan bakat ke peringkat seterusnya.

“Hakikat pemuzik seperti kami tidak suka dikongkong dan lebih rela melakukan sendiri apa juga yang diingini berbanding menanti orang lain untuk membantu. Pemuzik indie juga berbakat menulis lagu dan mampu melahirkan album sendiri,” kata Azeezul.

Info
Konsert Music Against Racism



Tiket-tiket hanya mula dijual di kaunter Menara Kuala Lumpur mulai 15 November ini yakni sehari sebelum konsert berlangsung. Menurut Azeezul punca tiket di jual pada saat akhir ialah kerana ingin mengelak berlakunya pasaran gelap atau haram apabila ada pihak yang cuba sabotaj dengan mencetak semula tiket palsu untuk dijual kepada penonton.


Tiket dijual berharga RM 20 seorang.


Konsert ini juga disokong jenama pakaian Crazeecausa.


Antara kumpulan indie yang bakal membuat persembahan ialah Sinopsis, Pinheads, Moda Moody, Julies Goes Overseas dan ramai lagi.


Sebarang maklumat lanjut boleh layari laman web: www.menarakl.com.my

No comments: