Tuesday, October 28, 2008

Kesan Dari Buta Sejarah.

Kediaman pejuang merdeka diroboh
Oleh Mohd Feroz Abu Bakarferoz@bharian.com.my

GOPENG: Penduduk Kampung Changkat Tualang, dekat sini, kira-kira 40 kilometer dari Ipoh terkilan kerana kerajaan Perak tidak berusaha mengekal dan memulihara rumah kelahiran pejuang kemerdekaan, Dr Burhanuddin al-Helmi hingga dirobohkan keluarganya, Ramadan lalu. Penduduk kampung berkenaan, Ibrahim MS Ahmad, 50, berkata Dr Burhanuddin adalah pengasas Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada pertengahan 1940-an. Katanya, rumah berkenaan pernah didiami adik Dr Burhanuddin, Sayuti Mohd Noor sebelum beliau meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu.

"Anak dan cucu Dr Burhanuddin tinggal di Lembah Klang dan rumah kelahiran Allahyarham ini rosak kerana sudah tiada penghuni hampir 10 tahun lalu. "Saya berharap tapak rumah ini dijadikan warisan sejarah dan kalau boleh, binaan asalnya didirikan semula sebagai tarikan pelancong. "Saya menggesa pihak berkuasa terutama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan mempertimbang cadangan ini kerana Dr Burhanuddin adalah tokoh penting dalam sejarah politik negara," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Ibrahim berkata, kerajaan negeri juga patut mengambil inisiatif menamakan jalan di Ipoh atau Gopeng dengan nama Dr Burhanuddin. Katanya, jika kawasan perumahan di ibu negara, iaitu Taman Tun Dr Ismail mempunyai Jalan Burhanuddin Helmi, tiada sebab Perak yang melahirkan tokoh berkenaan juga patut mempunyai nama jalan yang serupa. Sekitar 1946, Dr Burhanuddin memimpin PKMM manakala sayap wanita PKMM, Angkatan Wanita Sedar (Awas) dipimpin oleh Allahyarhamah Shamsiah Fakeh. Selain Shamsiah, antara tokoh politik lain yang seangkatan dengan Dr Burhanuddin ialah Ishak Haji Mohamad (Pak Sako) dan Onn Jaafar (pengasas Umno).

1 comment:

Anonymous said...

Pertanyaan:

Kenapa sekarang baru timbul pertanyaan seperti ini. Kerajaan yang memerintah Perak sebelum in dok buat apa? Bila benda dah terlepas ke tangan orang baru nak heboh. Inilah akibatnya. Lu fikirlah sendiri.