Inilah Bahana pencemaran yang terlalu serius sehingga ikan Paus pun boleh mati tertelan plastik di persisir pantai Nenasi, Pekan, Pahang. Angkara dari pengotor dan pencemar yang membuang sampah merata-rata, bayangkan kalau manusia?.
Tertelan plastik punca ikan paus mati
PEKAN: Saluran usus tersumbat plastik sampah dipercayai punca utama ikan paus spesies Bryde's Whale yang ditemui terdampar di pesisir pantai Kuala Nenasi, di sini, mati, kelmarin. Pegawai Penyelidik Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) Rantau Abang, Terengganu, Mohd Lazim Mohd Saif, berkata turut ditemui dalam usus mamalia berkenaan ialah penutup botol minuman dan segumpal tali nilon. Katanya, beliau bersama sepasukan empat penyelidik Makmal Veterinar Kuantan melakukan pembedahan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian ikan paus betina itu.
Ikan paus berukuran 10 meter panjang dan berat lebih tiga tan itu menelan plastik hitam yang disangka hidupan laut yang boleh dimakan, katanya. "Mamalia berkenaan yang dikategorikan anak paus gagal membezakan antara hidupan laut dan bahan buangan sehingga menyebabkan ia makan plastik hitam yang biasa digunakan untuk mengisi sampah. "Perbuatan membuang sampah ke laut oleh pihak tidak bertanggungjawab menjadi antara punca hidupan laut seperti ikan paus, penyu dan dugong mati," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.
Beliau berkata, selain saluran usus tersumbat, pihaknya mengesan kecederaan bahagian muncung ikan paus berkenaan dipercayai terkena batu karang. Mohd Lazim berkata, akibat terlalu lemah, ikan paus berkenaan dihanyutkan arus air pasang ke Kuala Nenasi. Ketika ditemui kali kedua terdampar di Kuala Nenasi kelmarin, anak ikan paus berkenaan sudah terlalu lemah dan banyak kesan melecur pada bahagian badannya yang disebabkan cuaca panas. "Bangkai ikan paus berkenaan ditarik menggunakan bot nelayan ke kawasan jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Nenasi, malam tadi (kelmarin) sebelum ditanam di kawasan Kampung Nenasi.
"Banyak maklumat baru dan terkini diperoleh mengenai ikan paus spesis Bryde's Whale yang kali terakhir ditemui di Sabah tahun lalu," katanya. Mohd Lazim berkata, Tumec akan mengambil rangka ikan paus itu dalam tempoh antara sebulan hingga dua bulan selepas ditanam apabila semua daging mamalia berkenaan reput sepenuhnya untuk tujuan kajian dan pameran. Rangka ikan paus itu akan dipamerkan di bilik pameran Tumec sebagai usaha kesedaran dan pengetahuan pengunjung. Bagi memastikan rangka mamalia berkenaan tidak dicuri pihak tidak bertanggungjawab, pihaknya mendapat kerjasama polis Nenasi untuk melakukan rondaan. "Saya sudah mengadakan pertemuan dengan ketua kampung dan penduduk Kampung Nenasi, untuk bekerjasama mengawasi rangka ikan paus berkenaan. "Tanpa kerjasama, usaha memiliki rangka mamalia berkenaan tidak akan menjadi kenyataan," katanya.
Sementara itu, Berita Harian difahamkan keputusan siasatan oleh penyelidik makmal veterinar Kuantan akan dapat diketahui dalam tempoh satu hingga dua minggu. Contoh beberapa bahagian mamalia berkenaan yang diambil akan dianalisis di makmal bagi mengetahui punca lain yang menyebabkan mamalia berkenaan mati.
No comments:
Post a Comment