ANAK SELUANG PULANG KE LUBUK
(Lebih sejuta wargakota tinggalkan Kuala Lumpur - Utusan Malaysia 27.9.08)
Kuala Lumpur kau akan kesunyian
Hiruk-pikuk di dadamu akan terhenti seketika
kerana Wargamu pulang menyusur akar
mencari dari mana asal mereka
Ayah, di laman rumahmu
kereta bersempitan
Mercedez, BMW, Toyota, Proton Saga dan motor Honda
Basikal cabukmu ke sawah mencari nafkah
menjadi pameran di bawah rumah
Ruang rumah tiba-tiba menjadi kecil
Anak cucumu tidur bergelimpangan
dari dapur ke serambi
yang panas yang rimas
Selit menyelit tanpa darjat Dato' atau Datin
kerana di sinilah bumi mereka pijak
walau mengapai awan setinggi saujana
Ibu,nisan di pusaramu
tiba-tiba hilang seketika
rerumput menjadi lalang bermaharaja lela
penunggu setia pengunjung setiap Syawal menjelma
Ibu, Di pagi Syawal ini masa menjadi tidak cukup
untukku memohon ampun dan maaf kepadamu
sehingga kini aku masih tercari-cari
syurga di bawah telapak kakimu.
2 comments:
Selamat menyambut 1 Syawal kepada Encik Mazlan dan ahli keluarga sekalian. Tidak terlupa rakan-rakan lain yang melayari blog ini.
Terima kasih atas ingatan yang tak pernah padam dari saudara.
Post a Comment