Monday, April 28, 2008

Ahli Parlimen Merbok diserang "STROKE"

Semalam semasa keluar bersama keluarga di Tesco Sungai petani, saya bertemu seorang sahabat yang dahulu pernah bekerja di bawah bekas CEO Modenas YB Dato' Rashid Din Ahli Parlimen Merbok sekarang. Beliau memberi tahu YB Dato' Rashid telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta Sungai Petani kerana telah diserang stroke.

Penyapu membawa SIAL!

Setelah DS Hishammudin Tun Hussein memohon maaf kerana tindakan ketelanjuran menghunus keris sehingga menyentuh perasaan masyarakat bukan Melayu dan mengundang kekalahan Barisan Nasional di beberapa negeri. Sekarang sama-sama kita tunggu giliran DS Mohd Khir Toyo mantan Menteri Besar Selangor memohon maaf secara terbuka kerana menghadiahkan penyapu di dalam satu majlis menilai prestasi PBT sebelum pilihanraya yang lepas.

Di kalangan masyarakat Melayu penyapu adalah simbol sial. Pantang sekali orang melayu dipukul dengan penyapu. Kerana kepercayaannya kelak sial itu akan membawa sehingga hari tua. Kalau yang membuka kedai adalah diseru supaya pagi-pagi semasa menyapu sampah, sapuan hendaklah ke dalam kedai dan sampah dikaut dengan "dustpan" dan dibuang keluar. Pantangnya jangan disapu sampah-sampah keluar kedai. Kerana dipercayai rezeki tidak bertahan lama. Satu lagi petua ialah Penyapu hendaklah disimpan dibelakang pintu rumah dengan bulu penyapu ke atas dan batangnya ke bawah. Amalan Ini dipercayai agar tuan rumah tidak mudah dipukau seperti dalam cerita P.Ramlee;Labu Labi.

Inilah pantang larang penyapu yang diketahui. Tetapi hari ini penyapu telah dijadikan satu anugerah diperingkat tertinggi kerajaan negeri.Dan akibat dari anugerah penyapu ini lima negeri telah disapu bersih oleh pembangkang. Lebih jauh lagi kesan dan akibatnya akan wujud ladang Babi yang termoden kelak di negeri Selangor. Selain mengekspot daging babi, salah satu industri hiliran yang dapat diwujudkan ialah kilang SMI memperoses bulu babi untuk dijadikan berus lukisan, berus cat atau berus shallack. Dan sebagai nilai tambah bulu babi ini juga boleh dijadikan berus "blusher" untuk make up wanita-wanita anggun dan moden masa kini.

Ternyata penyapu memang membawa sial..

Sunday, April 27, 2008

Jangan main main dengan Keris!

Hakikatnya hari ini semua pihak terpaksa tunduk dengan kedaulatan dan aura Keris Melayu. Pesanan orang yang terdahulu, jangan sembarangan menyarung dan menghunus keris. Ada cara dan tertibnya. Jika tidak kena cara dan tertib akibatnya buruk kelak. Adalah syirik jika kita mempercayai keris itu ada hikmat, penunggu atau sakti. Tetapi keris adalah senjata Melayu yang memiliki auranya yang tersendiri.

Keris tidak harus disamakan dengan pisau, golok, parang,kapak atau pedang samurai. Tidak pernah lagi keris digunakan untuk mengupas buah, memotong sayur, memangkas ranting pokok atau memotong daging. Dan kalau nak dibuat potong sayur atau buah pun memang sukar kerana ia berlekok-lekok.

Hari ini keris telah menjadi alat untuk pengaruh politik. Apabila keris diperalatkan akibatnya UMNO dan Barisan Nasional telah kalah diberapa negeri. Ini diakui oleh DS Hishamuddin Tun Husein sehingga beliau terpaksa meminta maaf kerana menghunus dan mengucup keris salah pada tempatnya. Aura keris telah membangkitkan ketakutan kepada masyarakat bukan Melayu.

Implikasi yang lebih mendalam ialah kuasa Melayu semakin pudar di bumi Malaysia ini. Melayu tidak lagi mampu menyekat ladang Babi yang bernilai RM100 juta di Selangor dan Dasar Ekonomi Melayu mula dicabar di Pulau Pinang.

Berdoalah kita kepada allah agar memberi kita kekuatan untuk menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.

Thursday, April 24, 2008

Lelaki berusia lebih matang

Oleh Azah Abdullah

Kesabaran, kebijaksanaan, keikhlasan dan pengalaman berumah tangga antara faktor buatkan wanita muda mudah terpikat.

SEJAK kebelakangan ini, isu wanita muda memilih lelaki tua begitu hangat diperkatakan terutama selepas perkahwinan penyanyi nombor satu Malaysia, Datin Siti Nurhaliza yang dilaporkan secara meluas di media.

Sebenarnya, perkahwinan membabitkan jarak usia yang agak tinggi itu bukan perkara baru. Jika anda masih ingat, beberapa tahun dulu seorang artis muda, Azreen, pernah mengahwini kerabat Diraja Pahang meskipun ketika itu usianya belum mencecah 16 tahun, manakala suaminya berusia 40-an. Tahun lalu, bekas pengacara program popular televisyen, Nona, Datin Norjuma Habib Mohamad yang ketika itu berusia 24 tahun, turut mencuri tumpuan apabila mengahwini ahli perniagaan, Datuk Mohamed Nazim Razak, 43.

Terbaru, perkahwinan bekas model, Puteri Shahanaz Hazlin, 24, dengan ahli perniagaan Datuk Roslan Hashim yang berusia 49 tahun kembali menghangatkan isu berkenaan. Sebahagian masyarakat, seolah-olah enggan mempercayai bahawa perkahwinan dibina lahir daripada cinta yang luhur memandangkan kebanyakan jejaka dipilih mempunyai latar belakang yang berduit.

Tetapi, jika ditanya kepada si empunya badan, semuanya mengakui kematangan dan keikhlasan yang ditunjukkan suami berjaya memikat hati. Ini membangkitkan persoalan, benarkah lelaki muda tidak matang dan ikhlas dalam menjalin hubungan? Kali ini, tinjauan Citra cuba menyelongkar di sebalik rahsia perkahwinan berbeza usia itu.

Pelbagai faktor boleh dilihat menyebabkan lelaki berusia lebih memilih wanita muda sebagai pasangan hidup mereka. Ini boleh dikaitkan dengan senario beberapa dekad dulu apabila ramai ibu bapa memilih lelaki yang matang usia sebagai menantu. Misalnya, zaman dulu pendidikan tidak menjadi keutamaan dan faktor kemiskinan juga penyebab ramai ibu bapa mahukan kebahagiaan anak mereka dengan mengahwinkan anak gadis mereka dengan lelaki berusia yang berkedudukan.

Bagaimanapun faktor kesabaran, kebijaksanaan dan kematangan melalui pengalaman dalam perkahwinan dulu menyebabkan lelaki berusia lebih bijak membimbing isteri dan menguruskan rumah tangga mereka. Ini diakui sendiri oleh Azmi Salleh, 52, berkata pengalaman daripada perkahwinan yang lepas banyak membantu lelaki berusia dalam menangani masalah rumah tangga.

“Kadangkala perkahwinan berbeza usia berlaku kerana beberapa faktor misalnya lelaki berusia dipilih wanita muda berdasarkan harta dan kedudukan ekonominya yang boleh dikatakan dapat menjamin kebahagiaan keluarga. Tambahan pula, sikap golongan lelaki muda yang tidak serius dan kurang matang menyebabkan wanita muda lebih suka memilih lelaki yang matang dan pandai mengatur kehidupan berumah tangga.

“Lagipun, pada masa kini, ramai anak remaja dan lelaki muda terbabit dalam kegiatan tidak sihat seperti dadah menyebabkan lelaki berusia yang berkerjaya lebih dipilih wanita muda kerana dikatakan setanding dan layak untuk mereka yang berpendidikan,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa orang ramai yang ditemui tidak menafikan perkahwinan sebegitu mengundang reaksi negatif daripada masyarakat. Norlaila Harun berpendapat timbul beberapa konflik yang mungkin tercetus daripada perkahwinan itu dari segi mental dan fizikal.

“Orang ramai mungkin akan menganggap lelaki berusia mengahwini wanita muda kerana gatal dan dikatakan tidak sepadan dengan isterinya yang masih muda. Malah, akan timbul kata sinis seperti kebimbangan lelaki berusia akan mengalami masalah seksual apabila umur meningkat lanjut. Kemungkinan ini berlaku kerana perkahwinan antara lelaki berusia 50-an dengan wanita 30-an atau wanita di kalangan 20-an,” kata pelajar berusia 23 tahun itu.

Pendapat Norlaila disokong oleh Aminuddin Mohamad, 25 yang berpendapat sememangnya perkahwinan sebegitu akan menimbulkan konflik kerana kebanyakan ibu bapa hari ini mengimpikan menantu yang setaraf usia dengan anak gadis mereka..

“Ada di kalangan kita berkahwin berdasarkan cinta dan mereka tidak kisah jika pasangan mereka lebih tua daripada mereka. Tetapi, tidak semua ibu bapa yang dapat menerima menantu berusia hampir sama dengan mereka,” katanya.

Bagaimanapun rata-rata orang ramai yang ditemui juga berpendapat lelaki berusia dikatakan mampu menguruskan rumah tangga serta mengawal emosi dan kerenah wanita muda. Justeru, pengalamannya sebagai suami dan bapa ketika perkahwinan yang lalu boleh membantu mereka memperbaiki keadaan dan mencari punca permasalahan seterusnya mengatasi masalah agar ia tidak berulang untuk kali kedua.

Islam sendiri sudah menggariskan beberapa panduan dan terserah kepada kita untuk memilih pasangan yang bersesuaian. Jika ingin memilih berdasarkan kecantikan, harta, kedudukan atau pangkat semata-mata, nescaya tidak bahagialah rumah tangga itu, namun jika memilih pasangan kerana agamanya, besar kemungkinan mahligai yang dibina diberkati.

Jarak usia membina gerbang perkahwinan adalah subjektif dan bukanlah penentu kepada kebahagiaan yang akan dikecapi, tetapi keikhlasan, kasih sayang, saling memahami dan menghormati antara satu sama lain dalam menjalankan tanggungjawab berumah tangga adalah dititikberatkan.

Apa yang penting, perkahwinan itu mestilah ikhlas untuk menjalankan kewajipan dan tanggungjawab yang diamanahkan Tuhan serta menyerapkan kasih sayang dalam berkeluarga bukan kerana semata-mata untuk memiliki harta, kedudukan, pangkat atau rasa terpaksa kerana faktor sebegini akan membuatkan rumah tangga tidak akan kekal lama.

Wednesday, April 23, 2008

SAJAK YUSUF PENYAIR TURKI ABAD XIII,

Untuk mempertahankan Raja perlu banyak perajurit dan kuda;
untuk memiliki perajurit ianya perlu banyak wang;
untuk mendapatkan wang, rakyat harus kaya;
Agar rakyat kaya, hukum harus adil.
Jika salah satunya dibiarkan tak terurus, keempat-empatnya pasti tidak terurus;
Jika keempatnya tidak terurus persatuan akan tercerai berai.



Mahathir panas lagi..

Tindakan kerajaan pimpinan Pak Lah membayar ex-gratia sebagai penghargaan kepada enam hakim yang terlibat dalam krisis badan kehakiman pada 1988 telah menimbulkan kemarahan pada Tun Mahathir sekali lagi. Nampaknya kemarahan Tun tidak berkesudahan sehingga sekali ini terlibat dengan Najib pula. Najib pun dah tak layak di mata Tun sekarang ini. Marilah kita tunggu siapa pula Tun nak tunjuk yang layak menjadi Perdana Menteri selepas Pak Lah.

Nampaknya krisis dalaman dalam UMNO dan Barisan tidak selesai juga. Kita rakyat akar umbi di bawah seperti sedang memerhati perlawanan badminton,pusing kiri pusing kanan. Tetapi apapun gelombang politik yang sedang dihadapi jangan sampai ekonomi gawat, saham jatuh, pengangguran meningkat dan keselamatan terancam.

Jika ini berlaku, kita takut kita akan diserang lagi oleh singa-singa lapar yang sedang berada dan menunggu di luar sana dan kita akan berakhir dijajah kembali.

Sebagai orang Islam apa yang harus kita ingat di dalam sembahyang berjamaah jika imam melakukan kesalahan sebagai makmum ada cara, sopan dan tertibnya untuk kita mufaraqah.

RASUAH, MAKAN SUAP, TUMBUK RUSUK.

Istilah rasuah yang saya tahu dari semasa sekolah dulu pada tahun 1968, kata bapa saya ialah Tumbuk Rusuk dan kata Cik Gu Hamid Mohammad, guru Bahasa Malaysia saya ialah "Makan Suap". Saya juga pernah dengar dato' saya Hj Othman Ramli menyebut "Rushuwah".

Selepas belajar dan memasuki alam pekerjaan, gaji bulan keempat saya, saya bercadang membeli kereta "secondhand". Salesman pertama yang dikenalkan pada saya oleh seorang kawan ialah Pak Man Ford, beliau berjumpa saya dan mencadangkan sebuah kereta Honda Civic empat pintu hatchback. Kata Pak Man, tak makan minyak, nampak sporty, you orang muda ada style dan gaya. Katanya "kerana you pertama kali pakai kereta Pak Man syorkan baik pakai kereta "secondhand" dulu. Kerana yakin dengan Pak Man yang pernah dianugerah Top 100 Ford Salesman in the country saya pun membuat keputusan membeli Honda Civic Hatchback.

Pak Man menyenaraikan harga jualan, roadtax, insurance, finance, bla, bla, bla, dan dihujung akuan ada satu bayaran "FOOTBALL MONEY". Saya tanya Pak Man apa tu "Football Money?". Kata Pak Man ini adalah amalan biasa "mungkin you tak ada pengalaman lagi". "Football money" adalah belanja-belanja untuk melicinkan kerja-kerja ubah nama, ding dong sana, ding dong sini, "Duit Kopi" dan lain-lain belanja "Under Counter". "Ooooo" kata saya mengangguk seolah-olah faham tetapi tak faham dan penuh tanda tanya dalam kotak fikiran yang masa itu seperti disket kosong. Padan dengan istilah "Football money" kalau diterjemahkan ke bahasa Malaysia menjadi "Duit Sepak dan terajang"

Apabila bermula berjinak-jinak di alam perniagaan saya didedahkan pula dengan "KOMISYEN". Setiap sebutharga saya diarahkan meletak sebelah beberapa peratus komisyen yang akan diberitahu hanya di saat-saat akhir tutup tender kelak. Ada yang menjadi orang tengah atau agen minta pula "BROKERAGE FEES". Kalau projek besar yang melibatkan jutaan ringgit yang pastinya melibatkan pula "LOBBYING FEES".

Dan jika hendak bantuan orang-orang politik untuk kerja-kerja melobi projek sehingga pihak atasan kos-kos yang terlibat ialah Komisyen, Brokerage Fees, Lobbying Fees dan akhir sekali yang penting ialah "POLITICAL FUND".

Inilah istilah-istilah, terma-terma dan kalau dibuka di dalam kamus berbagai-bagai lagi istilah-istilah yang bombastik.

Salam hormat kepada Pak Lah. New straits Times 22 April 2008, "Entering New Era of transparency and public accountability, 'NEW LOOK' ACA.

PENGAJARAN DARI TAHI LEMBU


"Pernah saya pada satu ketika, bercita-cita untuk menjadi tentera, namun ayah sebaliknya menghalang, malahan turut menghalau saya. Saya lantas berkemas, keluar dari rumah, pergi ke pusara nenek, dan merebah diri pada nisannya, menangis. Saya menyeru kepada roh nenek, merayu supaya ayah lebih menyayangi saya, dan tidak membuat keadaan menjadi lebih sukar. Sebaik berhenti menangis, saya terasa lapar namun malu untuk kembali ke rumah kerana saya baru sahaja keluar meninggalkan keluarga di sebelah paginya setelah bertengkar dengan ayah.

Saya melihat sekeliling dan terpandang pokok-pokok keledek di kebun berhampiran. Melihat tanahnya merekah saya pasti ada ketul-ketul keledek di dalamnya. Tanpa menghiraukan siapa pemilik kebun tersebut saya bergegas menggali dan mengeluarkan lima atau enam ketul keledek. Kerana bimbang sakit perut saya tidak berani memakannya mentah-mentah dan memang kebiasaaan saya tidak pernah makan makanan mentah. Saya mula memikir bagaimanana hendak memasak keledek-keledek ini. Inilah peristiwa yang menjadi pengajaran di dalam saya mengharung perniagaan saya.

Saya meluru ke sebuah lagi kawasan perkuburan yang lebih besar dan melihat beberapa ekor lembu sedang meragut rumput. Saya kumpulkan tahi lembu kering dan menyalutkan pada keledek tadi. Saya memohon mancis daripada pengembala di situ. Malangnya beliau hanya ada tiga anak mancis sahaja dan beliau hanya dapat memberi sebatang sahaja anak mancis kepada saya.

Dengan hanya sebatang anak mancis saya harus berhati-hati untuk menyalakannya. Dan harus dinyalakan pada arah yang betul. Jika ia menongkah angin nescaya mancis akan terpadam biarpun kita ada sepuluh anak mancis. Sejak kecil saya mempelajari cara mengesan arah angin - apabila kita miskin kita perlu menjadi lebih bijak.

Saya meramas-ramas kepingan tahi lembu kering supaya ia berderai. Rumput kering adalah kandungan utama tahi lembu. Apabila haiwan ini mengunyah rumput, jusnya diserap, manakala seratnya menjadi tahi. Sekali gores sahaja anak mancis menyala dan saya menghembus perlahan-perlahan sambil melindungi dengan tangan supaya api tidak terpadam. Sebaik sahaja api menyala saya pun membakar keledek sehingga masak, keledek bakar itu saya makan dengan penuh enak dan lahap sekali, ketika itu ia umpama menu yang paling lazat di dunia.

Sesuatu yang bukan milik kita kebiasaannya amat mengkagumkan, namun sebaliknya selepas kita miliki ia seolah-olah tidak berharga lagi. Jika kita biasa tinggal di banglo mewah dan dilengkapi dengan tab mandian jacuzzi yang serba mewah, kita akan melihatnya sebagai satu kebiasaan dan tidak begitu menghargai gaya hidup yang sedang dinikmati. Amat berbeza jika kita sebelumnya pernah tidur di atas ranjang papan kering atau di atas sebuah bangku kayu, andaikata ketika beroleh keselesaan kita akan tahu menghargai dan menikmatinya.

Begitulah saya pada ketika itu keledek bakar tahi lembu itu merupakan makanan paling enak di dunia. Adakalanya ulat juga kelihatan pada tahi lembu yang lembab apabila dibakar ulat turut sama juga terbakar. Andaikata seseorang yang lapar itu tahu ulat itu boleh dimakan, itupun akan dimakannya. Bagaimana pula kita tahu kita sedang lapar? Dan bagaimana seseorang yang tidak pernah lapar tahu untuk mencari wang? Dalam kes saya banyak iktibar yang saya perolehi dari kesan lapar tersebut, dan masaalah saya ialah bagaimana hendak mengelak dari kelaparan.

Setiap orang harus bermula dari yang asas. Dari satu harapan kecil, ia menjadi besar, dari satu perniagaan kecil, berkembang menjadi besar. Saya pernah menderita kesusahan dan saya tahu bagaimana orang lain merasakannya."

Ini adalah sedutan pengalaman usahawan Chew Choo Keng, Pengasas Khong Guan Biscuit Company yang berhijrah dari Wilayah Fujian, China ke Singapura dipetik dari buku Mengorak Langkah,melahirkan usahawan Cina, tulisan Chan Kwok Bun dan Claire Chiang See Ngoh.