Thursday, June 5, 2008

Barack Obama mencatat sejarah orang kulit hitam pertama berjaya memenangi pencalonan Parti Demokrat ke White House

ST PAUL, Minnesota 4 Jun - Barack Obama semalam mencatat sejarah orang kulit hitam pertama berjaya memenangi pencalonan Parti Demokrat ke White House selepas berjaya mengetepikan cabaran dari pesaing pilihan, Hillary Clinton.

"Amerika, inilah saatnya. Inilah masanya. Masa untuk kita membuka buku baru kepada polisi lama.

"Malam ini saya berdiri di depan anda dengan mengatakan saya akan menjadi calon Demokrat untuk pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada November ini," kata Obama, 46.

Beliau berjaya menyingkirkan saingan Hillary yang berharap muncul sebagai Presiden wanita pertama AS.

Selepas keputusan pemilihan awal di Montana diumumkan Obama memperoleh 2156 perwakilan berbanding Hillary yang mendapat 1,933.

Calon pilihan raya Presiden untuk Demokrat perlu melepasi had 2,118 perwakilan untuk mengesahkan pencalonan.

Kemenangan Senator Illinois dalam merebut pencalonan parti membolehkan beliau menentang veteran Perang Vietnam dari Parti Republikan, John McCain, 71.

Pertembungan pada 4 November ini menyaksikan pengundi AS akan memilih antara pemimpin politik generasi baru yang memiliki karisma tersendiri dengan seorang hero Perang Vietnam yang berharap dapat menyumbangkan jasa terakhir.

Obama memperoleh kemenangan selepas menguasai pemilihan awal di Montana serta sokongan besar-besaran perwakilan utama parti membolehkan beliau mengatasi kelayakan 2,118 perwakilan bagi melayakkan pencalonannya semasa konvensyen Ogos ini.

Bagaimanapun Hillary mendapat sagu hati dalam kekalahannya dengan memenangi pemilihan di South Dakota.

Sementara pungutan pendapat oleh USA Today/Gallup lima bulan sebelum pilihan raya Presiden menunjukkan Obama mengatasi McCain dengan 49-44 peratus dengan tumpuan kempen dijangka tertumpu kepada Perang Iraq, isu nuklear Iran dan masalah ekonomi AS yang semakin lemah.

Obama pula menyambut kemenangan pencalonannya dengan melancarkan kecaman ke atas McCain yang dianggap sebagai salinan kepada Presiden George W. Bush.

"Bukan perubahan jika John McCain membuat keputusan untuk terus menyokong George Bush seperti yang dilakukannya dalam senat tahun lalu.

"John McCain menghabiskan banyak masa bercakap mengenai kunjungan ke Iraq beberapa minggu lalu tetapi mungkin lebih baik beliau menghabiskan masa dengan melawat bandar raya dan bandar di negara kita yang menghadapi masalah ekonomi," katanya.

- AFP

No comments: