Thursday, April 24, 2008

Lelaki berusia lebih matang

Oleh Azah Abdullah

Kesabaran, kebijaksanaan, keikhlasan dan pengalaman berumah tangga antara faktor buatkan wanita muda mudah terpikat.

SEJAK kebelakangan ini, isu wanita muda memilih lelaki tua begitu hangat diperkatakan terutama selepas perkahwinan penyanyi nombor satu Malaysia, Datin Siti Nurhaliza yang dilaporkan secara meluas di media.

Sebenarnya, perkahwinan membabitkan jarak usia yang agak tinggi itu bukan perkara baru. Jika anda masih ingat, beberapa tahun dulu seorang artis muda, Azreen, pernah mengahwini kerabat Diraja Pahang meskipun ketika itu usianya belum mencecah 16 tahun, manakala suaminya berusia 40-an. Tahun lalu, bekas pengacara program popular televisyen, Nona, Datin Norjuma Habib Mohamad yang ketika itu berusia 24 tahun, turut mencuri tumpuan apabila mengahwini ahli perniagaan, Datuk Mohamed Nazim Razak, 43.

Terbaru, perkahwinan bekas model, Puteri Shahanaz Hazlin, 24, dengan ahli perniagaan Datuk Roslan Hashim yang berusia 49 tahun kembali menghangatkan isu berkenaan. Sebahagian masyarakat, seolah-olah enggan mempercayai bahawa perkahwinan dibina lahir daripada cinta yang luhur memandangkan kebanyakan jejaka dipilih mempunyai latar belakang yang berduit.

Tetapi, jika ditanya kepada si empunya badan, semuanya mengakui kematangan dan keikhlasan yang ditunjukkan suami berjaya memikat hati. Ini membangkitkan persoalan, benarkah lelaki muda tidak matang dan ikhlas dalam menjalin hubungan? Kali ini, tinjauan Citra cuba menyelongkar di sebalik rahsia perkahwinan berbeza usia itu.

Pelbagai faktor boleh dilihat menyebabkan lelaki berusia lebih memilih wanita muda sebagai pasangan hidup mereka. Ini boleh dikaitkan dengan senario beberapa dekad dulu apabila ramai ibu bapa memilih lelaki yang matang usia sebagai menantu. Misalnya, zaman dulu pendidikan tidak menjadi keutamaan dan faktor kemiskinan juga penyebab ramai ibu bapa mahukan kebahagiaan anak mereka dengan mengahwinkan anak gadis mereka dengan lelaki berusia yang berkedudukan.

Bagaimanapun faktor kesabaran, kebijaksanaan dan kematangan melalui pengalaman dalam perkahwinan dulu menyebabkan lelaki berusia lebih bijak membimbing isteri dan menguruskan rumah tangga mereka. Ini diakui sendiri oleh Azmi Salleh, 52, berkata pengalaman daripada perkahwinan yang lepas banyak membantu lelaki berusia dalam menangani masalah rumah tangga.

“Kadangkala perkahwinan berbeza usia berlaku kerana beberapa faktor misalnya lelaki berusia dipilih wanita muda berdasarkan harta dan kedudukan ekonominya yang boleh dikatakan dapat menjamin kebahagiaan keluarga. Tambahan pula, sikap golongan lelaki muda yang tidak serius dan kurang matang menyebabkan wanita muda lebih suka memilih lelaki yang matang dan pandai mengatur kehidupan berumah tangga.

“Lagipun, pada masa kini, ramai anak remaja dan lelaki muda terbabit dalam kegiatan tidak sihat seperti dadah menyebabkan lelaki berusia yang berkerjaya lebih dipilih wanita muda kerana dikatakan setanding dan layak untuk mereka yang berpendidikan,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa orang ramai yang ditemui tidak menafikan perkahwinan sebegitu mengundang reaksi negatif daripada masyarakat. Norlaila Harun berpendapat timbul beberapa konflik yang mungkin tercetus daripada perkahwinan itu dari segi mental dan fizikal.

“Orang ramai mungkin akan menganggap lelaki berusia mengahwini wanita muda kerana gatal dan dikatakan tidak sepadan dengan isterinya yang masih muda. Malah, akan timbul kata sinis seperti kebimbangan lelaki berusia akan mengalami masalah seksual apabila umur meningkat lanjut. Kemungkinan ini berlaku kerana perkahwinan antara lelaki berusia 50-an dengan wanita 30-an atau wanita di kalangan 20-an,” kata pelajar berusia 23 tahun itu.

Pendapat Norlaila disokong oleh Aminuddin Mohamad, 25 yang berpendapat sememangnya perkahwinan sebegitu akan menimbulkan konflik kerana kebanyakan ibu bapa hari ini mengimpikan menantu yang setaraf usia dengan anak gadis mereka..

“Ada di kalangan kita berkahwin berdasarkan cinta dan mereka tidak kisah jika pasangan mereka lebih tua daripada mereka. Tetapi, tidak semua ibu bapa yang dapat menerima menantu berusia hampir sama dengan mereka,” katanya.

Bagaimanapun rata-rata orang ramai yang ditemui juga berpendapat lelaki berusia dikatakan mampu menguruskan rumah tangga serta mengawal emosi dan kerenah wanita muda. Justeru, pengalamannya sebagai suami dan bapa ketika perkahwinan yang lalu boleh membantu mereka memperbaiki keadaan dan mencari punca permasalahan seterusnya mengatasi masalah agar ia tidak berulang untuk kali kedua.

Islam sendiri sudah menggariskan beberapa panduan dan terserah kepada kita untuk memilih pasangan yang bersesuaian. Jika ingin memilih berdasarkan kecantikan, harta, kedudukan atau pangkat semata-mata, nescaya tidak bahagialah rumah tangga itu, namun jika memilih pasangan kerana agamanya, besar kemungkinan mahligai yang dibina diberkati.

Jarak usia membina gerbang perkahwinan adalah subjektif dan bukanlah penentu kepada kebahagiaan yang akan dikecapi, tetapi keikhlasan, kasih sayang, saling memahami dan menghormati antara satu sama lain dalam menjalankan tanggungjawab berumah tangga adalah dititikberatkan.

Apa yang penting, perkahwinan itu mestilah ikhlas untuk menjalankan kewajipan dan tanggungjawab yang diamanahkan Tuhan serta menyerapkan kasih sayang dalam berkeluarga bukan kerana semata-mata untuk memiliki harta, kedudukan, pangkat atau rasa terpaksa kerana faktor sebegini akan membuatkan rumah tangga tidak akan kekal lama.

No comments: