DALAM Pilihan Raya Umum tahun 2013 kelak, dua juta pengundi baru akan mengundi. Bilangan ini bertambah dari jumlah pengundi baru seramai sejuta orang pada tahun 2004. Mereka merupakan sebahagian daripada lebih empat juta pengundi baru, termasuk mereka yang layak mengundi pada tahun 2004 tetapi tidak mendaftar. Sekiranya kesemuanya mendaftar maka jumlah keseluruhan mereka yang layak mengundi bagi pilihan raya akan datang ialah seramai 16.9 juta orang, termasuk 10.9 juta yang tersenarai sebagai pengundi pada tahun 2004.
Kita harus menerima hakikat bahawa pengundi muda pada dasarnya menentang establishment dan mereka tidak mempunyai bagej emosi dan sentimen. Sejarah dan kisah lampau tidak penting bagi mereka. Mereka hidup dunia yang berbeza dari ibu bapa mereka. Mereka juga celik komputer dan terdedah pada pelbagai teknologi. Mereka mendapat banyak maklumat dan berfikiran kritikal. Ini merupakan Generasi Y dan Z atau Generasi Starbucks yang harus diberikan perhatian oleh mana-mana parti politik yang ingin berkuasa atau mengekalkan kuasa.
Barisan Nasional (BN) seharusnya belajar dari pengajaran tahun 1999 dan 2008. Pada tahun 1999, Internet digunakan sepenuhnya untuk memerangi kempen BN yang menggunakan media arus perdana dan saluran formal yang lain. Internet masih baru bertapak ketika itu dan bilangan rakyat yang melayari dunia siber masih kecil jumlahnya. Pada masa itu Internet hanya digunakan oleh kurang dari 15 peratus rakyat. Bagaimanapun itu tidak menghalang bahan-bahan yang dimuat turun dari Internet beredar secara meluas. Budaya maklumat alam siber menjadi ciri baru dalam politik negara.
Pada tahun 2008, Internet mengambil bentuk yang lebih menakutkan bagi BN. Kali ini 60 peratus rakyat menggunakan Internet. Pada tahun 2000, 3.7 juta pengguna Internet dilaporkan. Pada tahun 2005 jumlahnya ialah 10 juta orang. Pada tahun 2007, jumlah pengguna Internet di negara ini melebihi 13.5 juta orang atau separuh penduduk Malaysia. Satu elemen lain yang mencorakkan landskap politik menjelang pilihan raya 2008 ialah peranan yang dimainkan oleh web blogs atau blogs. Wahana yang pada mulanya tempat berinteraksi sosial menjadi senjata baru dalam perang menawan hati dan perasaan. Pada masa ini dianggarkan lebih 500,000 pemilik blog atau bloggers di negara ini, sebahagian kecilnya terlibat dalam politik. Tetapi pengaruh mereka tidak boleh diambil mudah.
Di dalam buku Blogging and Democratisation in Malaysia: A New Covil Society in the Making, Jun-E Tan dan Zawawi Ibrahim melihat fenomena blogging secara ilmiah sambil mengingatkan pembaca tentang pengaruh bloggers sebagai "thought leaders" (secara mudah pemimpin minda) bagi generasi baru. Kelompok yang dipanggil "socio-political bloggers" ini mulai mencorakkan agenda pemikiran politik. Sebahagian besar dari dua juta bakal pengundi baru pada tahun 2013 merupakan mereka yang biasa dengan alam blogging.
Bagi generasi baru ini maklumat tidak datang dari media arus perdana sahaja. Malah penolakan langsung terhadap media arus perdana yang dikatakan pro-pemerintah menyebabkan mereka mencari pilihan lain. Apapun yang tersiar dalam media arus perdana dianggap tidak benar atau propaganda. Maka itu mereka mencari media alternatif sebagai sumber maklumat walaupun kredibiliti sumber itu boleh dipertikaikan.
Bagi banyak pihak kemunculan suara alternatif melalui kegiatan blogging ini mencerminkan kematangan proses demokrasi negara. Maklumat bukan lagi monopoli mana-mana pihak. Kebebasan bersuara menjadi kenyataan akibat kegiatan blogging. Ini proses yang dimahukan dalam usaha melahirkan masyarakat cerdik, celik dan terbuka. Malah inilah sebenarnya prasyarat sebuah masyarakat sivil.
Bagi yang lain Internet menjadi alam bebas di mana anarki bermaharajalela. Siapapun boleh menyatakan pandangan atau mengecam. Malaysia telah berjanji pada dunia bahawa kita tidak akan menyekat atau menapis Internet. Ini termaktub dalam Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia tahun 1998. Maka itu bagi mereka yang tidak bertanggungjawab, Internet akan menjadi medan menghina, mengecam dan memfitnah.
Kemenangan Barack Obama dalam pilihan raya presiden di Amerika Syarikat (AS) juga ada kaitannya dengan pengaruh media alternatif ini. Tidak ada calon presiden AS yang secara bijak dan berkesan menggunakan Internet. Internet bukan sahaja digunakan untuk meraih undi tetapi wahana baru untuk mendapatkan bantuan kewangan. Pada tahun 2000, calon presiden dari parti Republikan, John McCain memperoleh RM21 juta sebagai sumbangan melalui Internet. Seorang lagi calon presiden, Howard Dean mengumpulkan RM94.5 juta sementara John Kerry mendapatkan RM294 juta pada tahun 2004. Dalam sebulan sahaja, Obama mengumpulkan lebih banyak sumbangan dari semua perolehan mereka. Demikianlah kuasa Internet dan kehebatan Obama.
Satu perkara lain yang membabitkan pengundi muda ini ialah penggunaan khidmat pesanan ringkas (SMS). Seorang pemimpin PKR memberitahu sebuah forum bahawa partinya mempunyai pangkalan data 5.4 juta pengguna telefon bimbit dalam pilihan raya 2008. Mereka menghantar SMS kepada mereka secara berperingkat-peringkat selama beberapa waktu sehingga menjelang pilihan raya. Bagi mereka ini cara yang paling berkesan mendekati pengundi, terutama golongan muda. Kesannya sama-sama kita ketahui.
SMS merupakan fenomena moden yang tidak boleh diperkecilkan. Pada tahun 2007, sebanyak 2.3 trilion mesej teks dihantar oleh manusia di dunia ini, meningkat 20 peratus dari tahun sebelumnya. Pendapatan dari SMS sahaja ialah RM210 bilion bagi pengusaha syarikat telefon. Malaysia mempunyai 21 juta pemilik telefon bimbit. Kita menghantar secara purata 84 juta mesej teks sehari atau 32 bilion SMS setahun pada tahun 2006. Tetapi di antara Januari dan September 2007 sahaja, rakyat Malaysia menghantar 39.8 bilion SMS atau secara purata 144 SMS juta sehari.
Internet dan telefon bimbit akan membawa perubahan besar pada cara pengundi menentukan pilihan. Teknologi canggih akan menjadi senjata baru parti-parti politik. Memang benar generasi muda tidak berminat pada politik. Tetapi itu bukan bermakna mereka tidak mempunyai kesedaran politik atau hak mereka sebagai pengundi. Obama memenangi pilihan raya Presiden AS kerana sokongan yang melampaui ras dan tidak kurang pentingnya sokongan generasi muda. Dalam pilihan raya presiden kali ini 11 peratus pengundi merupakan pengundi kali pertama. Berdasarkan tinjauan 68 peratus dari mereka menyokong Obama.
Secara mudahnya, berdasarkan pengajaran tahun 2008, dan apa yang berlaku di AS dalam pilihan raya presiden kali ini, undi generasi muda amat penting bagi menentukan siapa kelak yang berkuasa pada tahun 2013 di negara ini.
No comments:
Post a Comment